Friday, March 17, 2017

Bagaimana Sistem Pencernaan Manusia Berfungsi

Assalamualaikum wbt

Pernah tak terfikir, apabila kita makan,kemana dan bagaimana makanan yang kita makan akan memberi manfaat kepada badan kita. Hari ni Lien akan kongsikan mengenai sistem pencernaan manusia dan bagaimana ia berfungsi. Dan tau tak,makin banyak yang Lien baca mengenai sistem pencernaan, Lien merasakan betapa bersyukurnya kita sebagai manusia dengan sistem pencernaan yang sangat sempurna diciptakan oleh Allah SWT.


PENGENALAN KEPADA SISTEM PENCERNAAN


Secara ringkasnya apabila kita makan, bermula pada ketika makanan berada dalam mulut, proses pencernaan berlaku. Tapi apakah yang dimaksudkan dengan sistem pencernaan?


Image result for sistem pencernaan manusia

Sistem pencernaan melibatkan saluran pencernaan yang mana ia merupakan satu saluran yang panjang bermula dari mulut dan berakhir di anus. Ia termasuklah mulut, esophagus, perut, usus kecil dan usus besar. Proses-proses yang terlibat dalam sistem pencernaan termasuklah mengunyah dan menelan, pencernaan secara mekanikal, pencernaan secara kimia, penyerapan dan perkumuhan. Setiap proses ini amat penting untuk memastikan proses pencernaan lancar. Selain itu, sistem pencernaan turut melibatkan organ seperti hati, pankreas, pundi hempedu.

Peranan utama sistem pencernaan adalah untuk mencerna dan seterusnya mengekstrak makronutrien daripada makanan iaitu protein,karbohidrat serta lemak. Selain itu,ia juga berperanan menyerap keperluan nutrien seperti vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan. Sistem pencernaan juga bertindak sebagai benteng pertahanan badan daripada mikroorganisma, antigen dan material asing yang memasuki badan melalui makanan ke dalam saluran pencernaan.

Proses utama pencernaan terbahagi kepada 5 proses utama iaitu:


1- MenelanMerupakan proses memasukkan makanan kedalam mulut dengan bantuan lidah. Lidah juga memudahkan proses mengunyah dan menelan makanan.


2- Pencernaan secara mekanikalMerupakan proses mengubah makanan kepada saiz yang lebih kecil dan lembut melalui kunyahan dalam mulut. Ia bertujuan untuk memudahkan proses pencernaan yang seterusnya.


3- Pencernaan secara kimiaMerupakan proses pencernaan yang melibatkan bantuan enzim yang mana molekul-molekul makanan yang besar menjadi lebih kecil untuk memudahkan proses penyerapan nutrient.


4- PenyerapanPenyerapan nutrient daripada makanan sebahagian besarnya berlaku di usus kecil dan seterusnya dihantar kepada sistem-sistem dalam badan.


5- Perkumuhan Merupakan proses menyingkirkan material yang tidak dicernakan oleh sistem pencernaan dan juga yang tidak diperlukan oleh badan.


ORGAN-ORGAN DALAM SISTEM PENCERNAAN


MULUT


Proses pencernaan bermula sebaik sahaja makanan masuk ke dalam mulut. Apabila makanan dikunyah, ia akan mengecilkan dan menghancurkan makanan dan air daripada makanan dan minuman yang dimasukkan kedalam mulut. Seterusnya dengan bantuan air liur dan lidah, ia akan membantu kita menelan makanan tersebut. Apabila makanan ditelan, ia akan melalui Pharynx dan seterusnya masuk ke dalam saluran esophagus.


ESOPHAGUS


Esophagus merupakan satu saluran panjang yang membawa makanan dan minuman dari mulut ke perut. Esophagus mempunyai otot sphinter dibahagian atas dan bahagian bawahnya. Semasa menelan, sphinter bahagian atas terbuka yang membolehkan makanan memasuki esophagus. Ia seterusnya melalui esophagus untuk memasuki perut apabilaotot sphinter bahagian bawah esophagus terbuka.Otot sphinter ini akan tertutup apabila makanan telah memasuki perut untuk mengelakkan ia kembali masuk ke dalam esophagus.

PERUT


Makanan seterusnya dibawa masuk kedalam perut dan akan disimpan di dalam perut buat seketika. Ia akan dicernakan dengan bantuan enzim menjadi semiliquid mass yang dipanggil 'chyme'. Seterusnya sedikit demi sedikit,perut akan melepaskan 'chyme' melalui otot pyloric sphinter yang terbuka di usus kecil dan tertutup kembali apabila 'chyme' telah dibawa masuk ke dalam usus kecil.

USUS KECIL


'Chyme' seterusnya dibawa masuk ke dalamusus kecil dan kebanyakan proses pencernaan makanan berlaku di usus kecil. Usus kecil merupakan organ yang sangat menakjubkan yang mana panjangnya lebih kurang 10 kaki dan luasnya menyamai keluasan satu gelanggang tenis. 

Strukturnya yang berlipat-lipat dipermukaannya dipanggil valvulae connivents yang ditutupi oleh villi. Villi seterusnya ditutupi microvilli. Kombinasi villi dan microvilli yang berlipat-lipat inilah yang menyediakan lebih banyak ruang untuk proses penyerapan.usus kecil terdiri daripada duodenum, jejunum dan ileum. 

Kebanyakan proses pencernaan berlaku di duodenum dan bahagian atas jejunum. Manakala proses penyerapan nutrient mula berlaku dipertengahan jejunum. 


Kehadiran makanan dalam usus kecil akan merangsang pengeluaran hormon yang seterusnya merangsang rembesan enzim daripada pankreas, usus kecil, hati dan juga pundi hempedu. Antata enzim yang diperlukan untuk pencernaan di usus kecil termasuklah protease, lipase dan amylase. Enzim-enzim ini akan membantu menukarkan karbohidrat dan protein yang besar kepada molekul yang lebih kecil. Lemak juga ditukarkan daripada molekul lemak yang besar kepada trigeliserid dan juga asid lemak yang lebih kecil.

Pergerakan makanan dalam usus kecil adalah pada kadar 1cm/ minit dan mengambil masa lebih kurang 3-8 jam untuk melalui usus kecil sehingga ke ieocecal valve. Sepanjang pergerakan ini, nutrient akan diserap oleh badan. Ia berlaku apabila penyerapan nutrient daripada dindig usus kecil ke salur darah. Dan seterusnya, salur darah akan menghantar nutrien ini ke seluruh badan.


USUS BESAR


Setelah melalui usus kecil yang panjang dan banyak penyerapan nutrient telah berlaku, baki makanan yang tinggal akan sampai pada ileoceccal valve iaitu pada permukaan usus besar untuk memasuki usus besar. Panjang usus besar lebih kurang 1.5 Meter dan terdiri daripada cecum, colon dan rectum. Usus besar merupakan tempat penyerapan baki air dan penyimpanan bahan kumuhan. 


Apabila memasuki usus besar, ia akan bergerak melalui usus besar dan penyerapan air dan baki nutrient yang tidak diserap di usus kecil berlaku. Hasil kumuhan pula terdiri daripada sisa makanan yang tidak dicerna seperti serat dan juga sel-sel mati daripada dinding saluran pencernaan. Serat pula membawa bersama lemak dan kolesterol untuk dikumuhkan. Seterusnya rectum menyimpan hasil kumuhan ini buat seketika sebelum dikeluarkan dari badan melalui proses buang air besar.

-----------------------------------------------


Bila diteliti, begitu rapi dan sangat terperinci sistem pencernaan manusia ciptaan Allah SWT. Itulah kekuasaan NYA. Semoga apa yang Lien kongsikan ini akan memberi manfaat kepada kita semua dan menjadikan kita insan yang lebih bersyukur dengan segala nikmat yang tidak terhingga yang Allah kurniakan kepada kita.


Lien Abdullah.


No comments:

Post a Comment